
Selepas tamat SPM di STJ di Kuala Pilah(kawasan terkering di semenanjung) aku ditawarkan mengikuti program Matrikulasi USM(Universiti Sains Malaysia) di Sekolah Raja Tun Azlan Shah (SERATAS) di Taiping(kawasan terbasah).
Gambar ini menunjukkan aku bersama pelajar-pelajar Matrik Zuhrah bersama guru kelas kami Ms. Pariza Ajam (aku pelajar lelaki paling kiri). Kalau tak silap aku tak kurang 4 orang dalam gambar ni menjadi doktor sekarang ini, ada yang jadi ahli farmasi, pilot, pegawai tentera dan tak kurang juga yang kini menabur bakti menjadi guru.
SERATAS memang sebuah sekolah yang indah terutama dengan kedudukanya di kaki Bukit Larut. Kali pertama aku sampai di Taiping, aku terpegun dengan keindahan taman tasiknya. Satu je yang tak bestnya dekat sini, hampir setiap hari hujan jadi susah sedikit nak bersukan bila petang, peliknya masih berlaku juga kejadian 'takde air' di kawasan terbasah di semenanjung Malaysia ni. Biasanya kami akan ke jeram sungai berhampiran sekolah untuk mandi, cuma payahnya bila nak mandi pagi....airnya sejuk sangat.
Gambar kedua pula ketika aku mewakili SERATAS ke Pameran dan Kuiz Sains Matrikulasi di USM. Aku dan beberapa pelajar kelasku Haryati Rofik, Irmi dan Fadillah memilih topik 'Bentuk Geometri di dalam Kehidupan' untuk dipamerkan. Satu peristiwa yang agak bersejarah di dalam mementukan arah tuju hidupku kerana dari pusat matrik ini aku ternampak Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan dan aku mula mengetahui yang USM menawarkan program Senibina. Dalam gambar ni aku sedang memberi penerangan kepada TNC USM ketika itu Dato' Dr Ishak Tambi Kechik, Dr Suhaimi (timbalan pengarah pusat matrik), Dr Zainuddin (pengarah pusat matrik ketika itu).
Biarpun singkat, SERATAS banyak meninggalkan kenangan manis kepadaku.




