Tuesday, November 15, 2005

Gambar volkswagen ayah (MB 7883) ketika berwarna putih, aku ingat kereta ni dah berwarna hijau ketika ayah menjualnya. Gambar ni diambil di tapak yang kini menjadi halaman rumah Pak Mat aku di Parit Hj Salam , Simpang Renggam.
Kami dengan kereta ni sering ke sana setiap malam Jumaat kerana Atuk Abah dan Atuk Mak membuka tanah di sana.


Gambar ketika sibuk nak berhari raya masa di rumah Rengit:

Adik beradikku menyibuk ketika Mak sibuk membuat ketupat dan lepat, paling bawah adalah adiku A'aa (Radha), Aku sedang memegang daun, perhatikan Rudi yang berdirihampir seiras dengan aku dan Kudin yang memegangku dari belakang. Mak dibantu oleh Mak Ninah dan seorang perempuan mungkin sepupuku(tak pasti siapa). Ayah berjalan menaiki tangga ke rumah atas. Sebenarnya rumah kami ada dua bahagian, atas dan bawah, rumah atas kesemuanya kayu dan rumah bawah separuh batu dan separuh kayu.

Tin biskut bersusun di tepi tangga kerana masa tu Mak rajin dan berkesempatan buat kuih raya sendiri. Kami ada membela beberapa ekor kucing, yang paling aku ingati adalah 'Manis' yang paling lama kami bela dan meninggalkan beberapa generasi.

Gambar di kedai photo di Batu Pahat; gambar ni menggambarkan keluarga kami yang semakin membesar, adik aku Rudi yang duduk disebelahku sambil memakai kasut terbalik, dia meninggi sangat cepat sehingga ramai yang ingat aku dan dia adalah kembar seiras.
Kudin memakai 'bush jacket' ala menteri yang dibeli di Singapura, aku pun ada sepasang baju ni tapi tak dipakai masa ini.
Kak Lin semakin nampak ke'cina'an dengan baju dan rambut potongan ala amoi. Ayah dan Mak agak 'berisi' pada masa tu. Ada beberapa lagi gambar begini tapi tak tau la ke mana perginya.

Monday, November 14, 2005

Gambar adik beradik ku yang awal, walaupun Poksu Atan adalah pakcik aku tapi dia dijaga oleh Mak sejak kecil lagi. Kudin (nama sebenarnya Amran) adalah anak angkat keluargaku yang dibela sejak kecil, dia sebenarnya anak Mak Jemah (sepupu Mak).
Nama Kudin tu ada sejarahnya, masa aku kat rumah berek klinik, ada dua orang kembar anak jiran kami (Mak Mah), seorang bergelar 'Kontak' (kepala kotak) dan seorang lagi 'Kujur' (kepala bujur) diberikan untuk membezakan kedua-duanya, maka Kudin mendapat namanya. Aku sendiri bernama 'Kujan' tak tau kenapa mungkin kerana aku suka main hujan atau evolusi dari nama Rizal-Kujal-Kujan.
Gambar ini pun diambil dihadapan rumah Atuk Abah di Sungai Dulang. Kak Lin bergaun oren sambil memegang tabung ikan kuat-kuat dan bermuka masam, tak tau kenapa...tapi itulah karater dalam gambar ni yang paling aku dan orang lain ingat.


Gambar di hadapan rumah 'Atuk Abah' sebelah mak aku. Rumah kayu berbumbung 'perak' yang tipikal di Johor ni bertangga batu mungkin kerana Atuk Abah aku orang Melaka. Keluargaku pernah tinggal di rumah ni sementara waktu sebelum berpindah ke rumah yang ayah aku bina di pekan Rengit. Aku masih ingat pokok depan rumah di kiri gambar ni adalah pokok Cempaka. Atuk Mak aku selalu petik bunganya dan simpan dalam sapu tangan sebagai pewangi semulajadi, biasanya dipetik sebelum pergi berjalan.

Dalam gambar ni Pak Long Ja'afar (nama sebenarnya Jamian) aku sedang menunggang motor Honda Cup ayah aku sambil berbaju melayu lengkap (hari raya rasanya). Aku adalah budak kecil montel di kanan gambar tu, di sebelah Poksu Atan (Hairuzaman) yang berseluar 'deng~gree' atau jeans, fashion yang baru berkembang popular ketika itu.

Rumah Berek dan HondaCup 60 cc:
Lagi gambar di rumah berek klinik Rengit, dalam gambar ni ada Mak Ninah (sebenarnya maknya si Ninah), Nenek Edah, Mak dan KAk Lin.

Dalam gambar kedua ni pula ayah dan Kak Lin di atas motor Honda Cup 60 cc ayah (PF 5643) lampu bulat, motor ni masih berjalan masa aku di Tingkatan empat, adik aku Rudi pernah modified pasang clutch kat motor ni, sebelum seingatan aku motor ni tersadai dekat bawah pokok nangka tepi rumah.

Gambar awal keluarga Cikgu Husin:
Gambar-gambar ni diambil di rumah berek klinik Rengit, Mak kata kena panggil 'tukang gambar' ke rumah pada masa tu kerana kamera memang mahal, tak semua orang mampu beli kamera. Rambut Mak memang panjang, sampai paras lutut. Kakak aku (Roslin) berambut pendek stail budak-budak masa tu, kalau diperhatikan fabrik dan potongan baju dia tu yang unik.

Aku masih kecil sangat, mungkin dalam setahun sahaja pada masa itu, aku masih ingat duduk depan TV (pun jarang orang miliki masa tu) tengok rancangan 'Panggung Rakyat', logo rancangan tu adalah rebana ubi. Malam sabtu (hari jumaat), rumah aku tentu penuh dengan jiran dan keluarga yang nak tengok filem melayu yang ditayangkan. Tengok dalam gelap seperti tengok filem, habis cerita je rumah bersepah macam dalam panggung jugak. Kadang-kadang sepupu aku tidur kat rumah aku malam tu pasal tak berani nak balik, terutamanya jika filem yang ditayangkan tu cerita hantu.

Gambar saiz passport yang ditampal di atas kulit majalah: dari kanan Ayah, Mak dan Nenek (mak ayah).

Nenek aku ni bidan yang terkenal di Rengit, sebut je 'Mak Edah' tentu orang Rengit masa tu kenal.

Ayah aku pulak seorang cikgu-'Cikgu Husin', jadi ramai juga yang kenal, 'necktie' tipis yang ayah pakai tu aku pernah simpan sampai aku form 5. Lepas tu tak tahu ke mana perginya.

Mak aku paling 'low profile' tapi kalau orang yang tahu tu memang meminati masakan Hajjah Rogaiah, macam-macam tempahan 'kuih basah' yang mak aku terima sampai sekarang, tak pernah putus-putus. Lagipun mak aku memang pernah belajar memasak dan menjahit masa zaman anak daranya dulu. Kuih mak aku memang sedap, bersih dan cantik cara buatannya.

Kulit majalah yang digunakan tu ada ceritanya; kalau tak silap ianya kulit majalah 'Dian', jelas warna dan style 'pop art' yang digunakan menggambarkan era gambar ni diambil. Ayah memang seorang peminat majalah ni. Aku masa tu tak reti membaca tapi aku selalu gunakan majalah lama untuk melukis/conteng gambar, selalunya gambar orang, kereta kebal dan senapang (dengan apinya sekali).


Satu lagi gambar passport atas 'pop art'. Ada tarikh 19 Mac 1963 di bawah gambar terkanan. Tak tau siapa yang menambah sentuhan 'pop art' menggunakan 'magic colour' tu...rasanya aku.


Dua pasang pengantin memotong kek:
Seperti yang diceritakan sebelum ni, ada dua pasang pengantin diraikan pada hari yang sama di rumah nenek sebelah ayahku. Memang menarik melihat gaya memotong kek secara duduk ni, susah nak tengok zaman ni bila semuanya dah atas meja.


Sebelum aku dilahirkan:

Ini adalah gambar hari bersanding ayah dan emakku, rasanya gambar berbaju putih ini diambil di rumah nenek sebelah ayah di Rengit kerana ada empat kerusi pengantin. Sebenarnya ada dua pasang pengantin pada hari tu, satu pasangan lagi adalah pasangan Abang Nordin (taraf sepupu dengan aku, anak sulung Pak Long, maklumlah ayah aku anak bongsu) dengan Nyayak (anak angkat nenek aku). Ayah aku masa tu dalam awal 30 'an, mak pula dalam 16 tahun (sekarang ni taraf form 4 ) je.

Gambar kedua ni diambil di rumah sebelah mak aku di Sungai Dulang, rumah ni lebih terkini kerana menggunakan tingkap ram kaca (kanan), perasan tak cara bersanding tu unik pasal mak aku diletakkan mengiring sedikit menghadap ayah aku menjadikan 'dominasi' pengantin lelaki lebih menyerlah.